Alam Sekitar

Jerebu dan Pembakaran Terbuka

Jerebu di Bandaraya Kuching 2019. Gambar diambil daripada Utusan Borneo Online.

Pada setiap tahun, negara kita akan dilitupi oleh langit yang suram dan kelabu, dipenuhi asap tebal dan udara berbau hangit yang menyukarkan kita untuk bernafas dengan selesa. Namun, masalah ini bukan hanya dihadapi oleh rakyat Malaysia, malah hampir seluruh kawasan Asia Tenggara sepanjang bulan Julai sehingga Oktober. Perkara ini amat merunsingkan, lebih-lebih lagi apabila negara terpaksa menutup sekolah dan prasarana lain bagi melindungi rakyat. Persoalannya adalah, apakah punca sebenar bagi masalah jerebu ini? Bagaimana kita mengatasinya?

Sebelum kita mengenalpasti punca jerebu, mari kita teliti apakah itu jerebu. Jerebu berlaku apabila kuantiti partikel-partikel di udara terlalu banyak dan berkumpul, sehingga menjejaskan penglihatan mata kasar manusia. Partikel-partikel kecil ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi jika ia wujud dalam kuantiti yang banyak, ia dapat menyekat pancaran cahaya matahari ke permukaan bumi dan seterusnya mengurangkan jarak pandangan mata kasar. Dari mana datangnya partikel-partikel ini? Partikel-partikel yang berterbangan di udara ini boleh berlaku secara semula jadi atau terhasil dari aktiviti-aktiviti manusia[1].

Secara amnya, punca-punca jerebu boleh diakibatkan oleh penghasilan asap daripada aktiviti perkilangan serta kenderaan bermotor, dan aktiviti pembakaran secara terbuka. Pada tahun 2019, punca terbesar jerebu ialah tradisi pembukaan atau pembersihan tanah dengan cara tebas dan bakar khususnya di wilayah Sumatera dan Kalimantan. Namun begitu, terdapat juga titik panas yang direkodkan di Sabah dan Sarawak, terutamanya pada bulan Ogos dan September[2]. Fenomena jerebu ini teramat serius sehingga kerajaan mengarahkan 2,459 sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia ditutup setelah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200; di paras yang sangat tidak sihat[3].

Kebanyakan titik panas yang direkodkan merupakan kawasan tanah gambut yang seringnya dibakar untuk penyediaan penanaman kelapa sawit dan pokok-pokok bagi penghasilan kertas[4][5]. Pembakaran terbuka tanah adalah cara mudah bagi petani untuk membersihkan tanah tanpa perlu mengerahkan lebih banyak tenaga. Namun begitu, bukan petani luar bandar sahaja yang menjadi dalang bagi aktiviti tidak bertanggungjawab ini tetapi juga pemilik syarikat ladang kelapa sawit besar-besaran turut bersalah dalam hal ini[6].

Jerebu bukanlah satu-satunya kesan buruk daripada aktiviti pembakaran terbuka. Kanak-kanak dan orang tua akan lebih terdedah kepada penyakit mata, radang paru-paru, lelah, penyakit kulit dan pelbagai alergi lain yang disebabkan oleh bahan tercemar di udara. Oleh itu, kita seharusnya bersama-sama untuk menghentikan segala bentuk aktiviti pembakaran terbuka, baik di kawasan kampung, perumahan bandar, ataupun kawasan perindustrian.

Tambahan pula, terdapat pelbagai alternatif lain yang boleh kita lakukan bagi mencegah kebakaran terbuka[7]. Antaranya ialah

  • Menanam sampah sarap organik (seperti sisa makanan dan potongan sayur terbuang) untuk dijadikan baja
  • Memastikan api rokok dipadamkan sepenuhnya sebelum membuang puntung tersebut dengan bertanggungjawab
  • Sisa-sisa pertanian, cantasan pokok, ranting-ranting di ladang dan kebun direputkan sebagai baja
  • Reja-reja kayu di tapak pembinaan dijual atau diguna semula
  • Mengamalkan amalan kitar semula dengan efektif
  • Melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku pembakaran terbuka

Demi menangani masalah ini, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak telah menetapkan denda kepada pesalah sebanyak[8]:

  • Denda – RM100,000.00 atau 5 tahun penjara jika disabit kesalahan
  • Tangkapan berulang – RM1,000 setiap satu hari

Kepada siapakah boleh kita laporkan aktiviti pembakaran terbuka? Kita boleh berhubung dengan beberapa badan berkuasa jika terdapatnya aktiviti pembakaran terbuka. Anda boleh menghubungi:

Gambar diambil daripada FB Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Rujukan:

[1] https://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/51-jerebu

[2] http://asmc.asean.org/asmc-haze-hotspot-monthly-new#Hotspot

[3] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/09/608397/2459-sekolah-ditutup-akibat-jerebu-mulai-esok

[4] https://www.hmetro.com.my/utama/2019/09/497854/industri-kertas-jadi-dalang

[5] https://www.bbc.com/news/world-asia-34265922

[6] https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/09/14/indonesia-sasar-ladang-sawit-milik-malaysia-berkait-jerebu-kata-eksekutif-syarikat/

[7] https://www.doe.gov.my/portalv1/en/info-umum/larangan-pembakaran-terbuka/131

[8] https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/11/06/sarawak-comes-down-hard-on-open-burning-culprits

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: